Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tentang kehilangan Zalina Azman daripada anaknya Mikhael Norman pada 29 November 2021.
Beliau juga berkata walaupun segala usaha mencari telah dijalankan, namun wanita itu gagal ditemui. Justeru, pihaknya telah membuat hebahan kepada orang awam hari ini bagi membantu siasatan dengan ciri-ciri mangsa adalah berketinggian 158 sm, berat 60 kg, berkulit hitam manis dan berbadan kurus.
Zalina Azman merupakan bekas pembaca berita dan pengacara TV3 sekitar tahun 90-an yang terkenal menerusi program Money Matters.
24 Nov 2021 – Mikhael telah menghubungi ibunya, Zalina Shaharah, 58 bagi memberitahu ayahnya, iaitu datuk kepada pengadu telah dimasukkan ke hospital tetapi wanita itu gagal dihubungi.
29 Nov 2021 – Pengadu dan pakciknya telah pergi ke rumah mangsa namun wanita itu tiada di rumah dan mendapati keadaan rumah tidak tersusun. Pengadu menemui beg duit milik mangsa yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit dan wang tunai RM600 serta kunci kereta.
29 Nov 2021 – Pengadu telah membuat laporan kehilangan mangsa di ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam.
18 Julai 2022 – Pihak polis membuat hebahan kepada orang ramai bagi membantu mencari mangsa setelah mangsa gagal ditemui walaupun segala usaha mencari telah dilakukan.
Kisah kehilangan Zalina Azman turut dikongsi oleh Datuk Ras Adiba Mohd Radzi menerusi hantaran di laman sosial instagram miliknya dan menyeru orang ramai membantu sahabatnya.
Sehubungan itu, IPD Shah Alam menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat dapat menyalurkan info berkenaan kehilangan kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam melalui talian 03-5519 4622.