KWSP i-Lindung bantu pemilikan insurans dan takaful guna Akaun 2

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli untuk memudahkan pembelian produk insurans dan takaful bagi semua ahlinya.
Ahli KWSP boleh membeli insurans dan takaful yang merangkumi perlindungan hayat serta penyakit kritikal daripada Akaun 2. Produk insurans dan takaful ini boleh dibeli melalui tawaran oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan oleh KWSP menerusi platform i-Lindung yang terdapat dalam portal i-Akaun KWSP.
Antara syarikat insurans dan pengendali takaful yang terlibat adalah FWD Takaful Bhd, Prudential Assurance Malaysia Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd, Etiqa Life Insurance Bhd dan Etiqa Family Takaful Bhd.
i-Lindung dijangka dapat membantu ahli KWSP mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi luar jangka dan tidak diduga yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Lebih menarik, ahli tidak perlu tidak perlu menjalani pemeriksaan perubatan untuk membeli pelan insurans dan takaful yang ditawarkan.
Apakah i-Lindung KWSP?

i-Lindung adalah sebuah platform layan diri di dalam i-Akaun (Ahli) yang digunakan untuk tujuan pembelian produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli (PPA).
Melalui PPA, ahli dibenarkan membeli produk insurans/ takaful daripada Syarikat Insurans & Takaful (SIT) yang diluluskan oleh KWSP.
Ini adalah untuk menyediakan pilihan kepada ahli dalam mendapatkan perlindungan bagi membantu ahli berdepan dengan tempoh sukar atau kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan.
Ciri-ciri utama i-Lindung

- Proses yang lancar – Cara yang mudah untuk mendapatkan produk perlindungan tanpa keperluan pemeriksaan kesihatan
- Sebut harga serta-merta – Dapatkan sebut harga bagi setiap produk yang ditawarkan secara dalam talian
- Pusat maklumat – Kemudahan akses dan menganalisis semua maklumat produk yang ditawarkan sebelum membuat pilihan
- Paparan keseluruhan – Memaparkan maklumat berkaitan polisi/ sijil yang dibeli secara keseluruhan
- Bila-bila masa dan di mana sahaja – Kelebihan untuk mendapatkan produk pada bila-bila masa dan di mana jua
Jenis perlindungan yang ditawarkan

- Perlindungan Hayat
- Perlindungan Penyakit Kritikal
Syarat-syarat kelayakan

- Warganegara Malaysia
- Pengguna i-Akaun (Ahli)
- Mempunyai baki simpanan di dalam Akaun KWSP
Langkah pembelian i-Lindung
Pembelian produk insurans dan takaful di bawah i-Lindung hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui i-Akaun (Ahli). Ikuti langkah-langkah berikut:
- Log masuk ke i-Akaun (Ahli)
- Klik pada tab i-Lindung
- Pilih produk yang ditawarkan oleh SIT
- Lengkapkan maklumat di portal SIT
- Kebenaran untuk potongan dari Akaun KWSP
- Penerimaan penyata maklumat dari SIT
Perlindungan akan bermula pada hari polisi/sijil anda telah dikeluarkan oleh SIT. Polisi/sijil anda akan dihantar melalui e-mel oleh SIT dan juga boleh didapati dalam Pelan Perlindungan Saya di bawah i-Lindung.
Maklumat lanjut
Maklumat lanjut mengenai Pelan Perlindungan Ahli i-Lindung boleh dirujuk menerusi saluran komunikasi rasmi KWSP melalui laman web www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.