Menteri Kewangan umum tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal tamat 30 Jun 2022

Sekiranya ada antara anda yang berniat membeli kenderaan baru sebelum 30 Jun 2022, anda masih lagi boleh menikmati insentif pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang.

Ini kerana kerajaan telah mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kekal tamat pada 30 Jun 2022 selepas hampir dua tahun insentif ini diperkenalkan pada tahun 2020.

Pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang (termasuk MPV dan SUV) pemasangan tempatan dan 50% pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import dilaksanakan bagi mengekal dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sumber Gambar : Facebook Tengku Datuk Seri Zafrul

Jadi bagaimana pula dengan kenderaan yang ditempah sampai selepas 30 Jun?

Anda tidak perlu risau kerana menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga, tempoh pendaftaran tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023 bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sebelum 30 Jun 2022 menikmati insentif ini.

Tambahnya lagi, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Setakat 31 Mac tahun ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.