Panduan Solat Terawih Daripada JAKIM

Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, mari lah kita memperbanyakkan ibadah dan menghidupkan malam di bulan Ramadhan nanti. Antaranya dengan mengerjakan solat terawih.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang mendirikan solat (Terawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang lalu”
(HR Muslim)
Hukum Solat Sunat Terawih
Hukum solat sunat terawih adalah sunat Muakkad, iaitu yang sangat dituntut (dikerjakan) oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam pada bulan Ramadhan.
Solat sunat terawih boleh dilakukan sama ada secara berjemaah mahupun bersendirian di masjid, surau atau di rumah.
Imam An-Nawawi Rahimahullah membahagikan kepada dua pendapat :
- Imam As-Syafi’e dan jumhur berpendapat afdhal solat terawih secara berjemaah
- Imam Malik, Abu yusuf dan sebahagian Syafi’eyyah berpendapat afdhal menunaikan solat terawih secara bersendirian di rumah
Kesimpulannya, hukum menunaikan solat terawih secara bersendirian adalah dibolehkan dan yang paling afdhal adalah menunaikan secara berjemaah. Rujuk Usrah Nurani : Hukum Solat Tarawih Secara Bersendirian.
Waktu Solat Sunat Terawih
Ditunaikan selepas menunaikan sembahyang fardhu Isyak dan sunat ba’diah (selepas isyak) dua rakaat.
Bilangan Rakaat
Sembahyang sunat terawih ditunaikan seperti solat sunat biasa, iaitu dua rakaat satu salam, kemudiannya diulangi lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
Umumnya di Malaysia, solat sunat terawih dikerjakan sama ada sebanyak 8 rakaat atau 20 rakaat sahaja.
hatada surau dan masjid yang mendirikan sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
Kaifiat Solat Terawih
Berikut adalah cara solat sunat terawih sama ada secara bersendirian atau berjemaah.
- Lafaz Niat Solat Terawih. Lafaz niat solat sunat terawih adalah seperti berikut :
اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا ِللهِ تَعَالَى
Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat *(menjadi makmum/imam) kerana Allah Taala.
- Menyempurnakan 13 Rukun Solat. Rukun solat sunat terawih ini samalah dengan rukun solat yang lain seperti takbiratul ihram, membaca al-Fatihah dan lain-lain. Jumlah rakaat boleh dilakukan sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat.
- Bacaan Surah. Kita boleh membaca apa-apa surah yang dihafal. Membaca satu surah penuh lebih afdhal dari membaca sebahagian ayat dalam surah. Kebiasaannya, pada malam 1 hingga 15 Ramadhan, kita boleh membaca surah-surah lazim pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua pula dibaca surah al-Ikhlas. Dari malam 16 hingga akhir Ramadhan, pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Qadr. Manakala pada rakaat kedua boleh dibaca mana-mana surah antara surah al-Takathur hingga kepada surah al-Masad.
Penentuan sesuatu surah seperti yang disebutkan itu hanyalah untuk memudahkan kita mengingati bilangan rakyat sahaja dan kerana itu seseorang boleh membaca mana-mana
surah atau ayat yang diingatnya.
Selawat & Wirid Antara Solat
Bacaan selawat dan bacaan tertentu ketika memulakan atau di antara solat terawih tidaklah dimestikan jika kita tidak menghafalnya. Namun, tidak salah juga jika kita ingin mengamalkannya untuk menambahkan lagi pahala pada bulan yang mulia ini.
Sebagai panduan, berikut adalah bacaannya:
Kaifiat Solat Sunat Witir
Secara umumnya, orang-orang Islam di Malaysia menunaikan solat sunat Witir selepas solat sunat Terawih sebanyak 3 rakaat dengan 2 salam.
Solat sunat Witir ditunaikan sebagaimana solat sunat yang lain, namun dengan bilangan rakaat ganjil.
Berikut adalah cara solat witir 3 rakaat yang mudah :
- Dilakukan 3 rakaat dengan dua salam. (2 rakaat + 1 rakaat)
- Lafaz niat solat sunat Witir : “Sahaja aku solat sunat Witir 1 rakaat / 2 rakaat (imam/makmum) kerana Allah Taala”.
- Solat seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
- Pada malam ke-16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca qunut pada rakaat yang akhir. Lafaznya sama dengan lafaz qunut solat Subuh.
- Boleh dibacakan apa-apa surah selepas surah al-Fatihah, namun afdalnya boleh dibaca surah berikut:
- Rakaat pertama – surah Al-A’la
- Rakaat kedua – surah Al-Kafirunn
- Rakaat ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas
Baca juga : Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian / Sebulan (JAKIM)
Muatturun Panduan Solat Terawih JAKIM
Anda boleh merujuk panduan solat terawih oleh JAKIM di pautan berikut:
Panduan-Solat-Tarawih-Jakim-2020
Semoga dengan panduan ini kita dapat menambah amal dan memantapkan lagi penghayatan kita terhadap bulan Ramadhan agar ia memberi manfaat dan faedah yang besar untuk kita semua.