Penceramah bebas ditahan polis, disyaki rogol remaja di beberapa lokasi

Seorang penceramah bebas berusia 30-an telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor oleh pihak polis berikutan atas kesalahan merogol remaja berumur 14 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, pihak polis telah menerima laporan daripada pengadu berhubung kejadian ini pada 16 Julai 2022 jam 11.15 malam. Penceramah bebas itu direman selama lima hari sehingga 23 Julai bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi Subramaniam berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa telah mengenali suspek sejak Mei tahun lepas.
“Sepanjang perkenalan itu, pengadu dan suspek telah melakukan hubungan INTIM di beberapa lokasi yang berbeza”.
“Setakat ini, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka melibatkan pengadu yang sama termasuklah dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak”, katanya.
Menurut beliau juga, kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.