Permohonan Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP Mulai 7 April

Lanjutan daripada pengumuman Kementerian Kewangan pada 21 Mac lalu mengenai inisiatif Fasiliti Sokongan Akaun 2, KWSP kini telah memperincikan mekanisma permohonan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) kepada dua fasa.

Kemudahan ini bertujuan untuk memudahkan ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Fasiliti ini hanya dibuka untuk satu (1) tahun dan permohonan adalah sekali sahaja bagi mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada wang simpanan KWSP untuk membayar dan menyelesaikan hutang dan ini akan menjejaskan simpanan ahli.

Fasiliti ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, di mana fasa 1 Fasiliti Sokongan Akaun 2 telah dibuka khas kepada kumpulan sasar yang berumur 40 tahun sehingga 55 tahun manakala fasa 2 mensasarkan kumpulan peringkat umur 40 tahun dan ke bawah yang akan dibuka kelak.

Amaun Kelayakan

Amaun kelayakan awal permohonan melalui Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun adalah berdasarkan amaun simpanan dalam Akaun 2 yang ditolak dengan sebarang amaun pengeluaran yang belum diluluskan seperti Pengeluaran Pendidikan, Kesihatan dan sebagainya.

Ilustrasi kelayakan pengeluaran adalah seperti di bawah:

Walau bagaimanapun, amaun bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun ini adalah berdasarkan kepada amaun yang diluluskan bagi pembiayaan peribadi serta terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak institusi perbankan.

Syarat-syarat Kelayakan Memohon Fasiliti Sokongan Akaun 2

  1. Ahli KWSP yang berumur 40 tahun sehingga 55 tahun (warganegara Malaysia)
  2. Permohonan boleh dibuat sekali sahaja dan tidak boleh dibatalkan selepas diluluskan
  3. Wajib mempunyai amain minimum RM3,000 dalam akaun 2
  4. Pengeluaran maksimum RM5,000 bagi pengeluaran bersyarat
  5. Memenuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh institusi perbankan

 

 

Cara-cara Memohon Fasiliti Sokongan Akaun 2

Permohonan dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian. Buat masa ini hanya Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank sahaja yang mengambil bahagian. Kadar faedah akan ditentukan oleh Institusi Perbankan terlibat.

Berikut adalah tiga (3) langkah utama yang perlu dilakukan oleh ahli:

i) Langkah 1: Membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP melalui portal KWSP atau portal institusi perbankan yang mengambil bahagian;

ii) Langkah 2: Membuat permohonan pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut syarat dan terma yang dipersetujui dengan institusi perbankan;

iii) Langkah 3: Membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP melalui portal institusi perbankan, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

Para ahli KWSP juga diingatkan perlu menyemak baki akaun 2 terlebih dahulu bagi memudahkan proses permohonan.

Ahli KWSP boleh melayari https://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan dan soalan-soalan lazim yang berkaitan fasiliti ini.

Maklumat Lanjut

Untuk keterangan lanjut sila layarai laman sesawang https://www.kwsp.gov.my/ supaya tidak terlepas setiap hebahan rasmi daripada pihak KWSP.