Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa warganegara Malaysia calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020, 2021 dan 2022 yang berkelayakan, berpotensi, berminat serta beriltizam untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang masing-masing bagi ambilan tahun 2023.
Program ini dikhususkan untuk laluan khas calon Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) bagi mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam pelbagai bidang pengkhususan bagi keperluan di sekolah rendah.
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) 2023
Calon SPM Tahun 2020, 2021 dan 2022
Laluan Perdana
Laluan Khas
Ambilan Khas
Mod Pengajian : Sepenuh masa
Tempoh Pengajian :
Satu (1) tahun Persediaan
Empat (4) tahun Ijazah
Tarikh Permohonan PISMP 2023
Permohonan akan dibuka bermula 15 Mac sehingga 14 April 2023
Cara Memohon
Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia di alamat : https://pismp.moe.gov.my mulai 15 Mac 2023.
Calon SPM Tahun 2022 boleh mengemukakan permohonan walaupun belum memiliki keputusan sebenar peperiksaan.
Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang : https://pismp.moe.gov.my bagi mendapatkan maklumat iklan, Ujian Kelayakan Calon Guru (e-UKCG), temu duga, ujian kecergasan fizikal (UKF), syarat bidang pengkhususan serta tarikh-tarikh penting proses pengambilan sebelum membuat permohonan.
Pemohon dibenarkan mengemukakan SATU (1) permohonan dan boleh mengemaskini permohonan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum tarikh permohonan ditutup. (Rujuk tarikh-tarikh penting proses pengambilan PISMP).
Permohonan hendaklah disahkan dan dihantar sebelum tarikh tutup permohonan. Permohonan yang berjaya dihantar akan menerima nombor rujukan dan tarikh menduduki e-UKCG.
Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.
Calon Tidak Layak Memohon
Pemohon yang sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG atau Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institusi-institusi pendidikan.
Pemohon yang dikenakan tindakan tatatertib atau sedang dalam proses tindakan tatatertib semasa dalam perkhidmatan awam atau latihan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.
Pemohon yang pernah mengikuti program ikhtisas di Institut Pendidikan Guru, tetapi gagal dalam peperiksaan dan ditamatkan daripada program.
Pemohon yang pernah atau sedang disabitkan dengan kesalahan penyalahgunaan dadah, jenayah atau tindakan mahkamah.
Prosedur Permohonan / Kemasukan IPG 2023
Sila rujuk proses saringan pengambilan calon guru IPGM dalam penerangan dan infografik di bawah:
e-UKCG
e-UKCG terdiri daripada Bahagian A (120 soalan) dan Bahagian B (60 soalan). Calon MESTI menjawab dalam tempoh 45 minit secara dalam talian iaitu 30 minit untuk Bahagian A dan 15 minit untuk Bahagian B.
Calon hanya dibenarkan menjawab sekali sahaja dalam jangka masa yang ditetapkan.
Sekiranya calon tidak menduduki e-UKCG secara dalam talian pada masa yang ditetapkan, calon akan dikira gagal dalam peringkat saringan.
TEMU DUGA
Hanya calon yang lulus UKCG sahaja akan dipanggil untuk menghadiri sesi temu duga.
Temu duga akan dilaksanakan secara bersemuka dalam talian menerusi pelantar google meet mengikut tarikh dan sesi temu duga yang ditetapkan.
Setiap calon yang layak akan ditemu duga secara individu dalam kumpulan yang tidak melebihi 7 orang.
Satu garis panduan lengkap temu duga akan disediakan kepada calon yang layak sebagai persediaan sebelum menghadiri sesi temu duga.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bertanggungjawab untuk menanggung sebarang kos, kerugian dan kecederaan semasa temu duga ini dilaksanakan.
UKF (Menilai Tahap Kecergasan dan Fizikal Calon)
Calon perlu menyediakan rakaman VKF mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Sila baca dengan teliti arahan dan garis panduan yang diberi.
Rakaman VKF hendaklah dibuat dalam tetapan ‘Unlisted’ sahaja untuk dibuka dan dinilai oleh panel penilai. Adalah diingatkan bahawa risiko ketidakpatuhan kepada perkara ini adalah di bawah tanggungjawab calon sendiri.
Hantar link/ URL VKF ke portal PISMP setelah butang setuju terima dilaksanakan.
Sekiranya calon tidak menghantar VKF, calon akan dikira gagal dalam peringkat saringan.
Penyediaan VKF hanya akan dilakukan pada calon yang lulus e-UKCG.
PEMILIHAN
Calon yang terpilih untuk mengikuti program yang ditawarkan adalah bergantung kepada keputusan e-UKCG, perakuan panel Temu Duga dan penilai VKF ,skor merit dan kelulusan oleh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penajaan KPM
Semua keputusan adalah muktamad.
PENAWARAN
Penawaran bidang pengkhususan dan tempat pengajian adalah muktamad sebarang rayuan tidak dipertimbangkan.
Maklumat dan Perhatian
Pemohon perlu menyemak tarikh-tarikh penting proses pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) tahun 2023. Walau bagaimanapun KPM berhak meminda sebarang aktiviti dan tarikh mengikut keperluan semasa.
Pemohon boleh mendapatkan maklumat tambahan berhubung promosi pengambilan program PISMP tahun 2023 menerusi youtube live “Jom Jadi Cikgu” mulai Mac hingga Julai 2023.
Calon mestilah menjalani saringan dan lulus e-UKCG sebelum dipanggil temu duga dan ujian kecergasan fizikal (UKF).
Pemohon yang berjaya ditawarkan pengajian hendaklah bersetuju dan patuh dengan terma-terma dalam surat tawaran dan Perjanjian Pendidikan Guru KPM Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta pindaan-pindaan yang dibuat ke atasnya dari semasa ke semasa.