Tambang percuma MRT, LRT, Monorel, BRT dan bas RapidKl selama sebulan

Kerajaan mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bagi semua perkhidmatan awam di bawah kendalian RapidKL bermula hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan berita gembira ini sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu yang bakal dibuka mulai jam 3 petang ini. Ini bermakna semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel dan bas RapidKL tidak akan dikenakan sebarang bayaran tambang selama sebulan.
Pemberian tambang percuma perkhidmatan awam ini akan dapat mengurangkan kesusahan dan beban rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup dan harga barang yang membebankan. Dalam masa sama, penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam akan mengurangkan kesesakan lau lintas.
Beliau juga berharap orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dengan meletakkan kenderaan di ‘Park N Ride’ dan #JomNaikMRT

Info MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu
- membabitkan kos bernilai RM15 juta
- melibatkan jajaran sepanjang 17.5 km merangkumi 12 stesen, tiga stesen lama sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dan sembilan stesen baharu
- tiga stesen sedia ada adalah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh
- sembilan stesen baharu adalah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu
- tempoh perjalanan selama 24 minit selain menempatkan 2,836 lot parkir di tujuh kemudahan ‘Park n Ride’
- empat stesen pertukaran, masing-masing di Kwasa Damansara (dengan MRT Laluan Kajang); Sungai Buloh dan Kampung Batu (dengan KTM) serta Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral).

MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2023 yang meliputi dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral sejauh 57.7km.