Video Panduan Aplikasi Saudi Visa Bio Buat Bakal Jemaah Haji

saudi visa bio

Bagi tujuan permohonan visa haji, Kerajaan Arab Saudi telah menguatkuasakan penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio. Bakal jemaah haji tahun ini perlu memuat turun aplikasi ini dalam telefon pintar masing-masing. Aplikasi Saudi Visa Bio boleh didapati di Google Play dan Apple Store.

Pihak Tabung Haji (TH) telah pun mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah bermula pada hari Rabu 22 Mac secara berperingkat melalui THiJARI. Bagi yang tidak mendapat surat tawaran haji pada tahun ini bolehlah membuat rayuan yang dibuka sejak 27 Mac 2023. Rujuk artikel Rayuan Haji 1444H/2023 Melalui THiJARI.

Menurut Pengarah Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, bakal jemaah perlu mendaftar dalam aplikasi ini yang merangkumi empat proses melengkapkan alamat e-mel, muatnaik imbasan muka surat butiran peribadi dalam pasport Malaysia, imbasan muka dan imbasan 10 jari (biometrik).

“Bakal haji akan menerima emel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui emel yang didaftarkan”.

“Bakal haji juga diingatkan untuk terus menyerahkan pasport mereka kepada TH setelah mendapat pengesahan ini bagi TH memproses visa haji bakal haji berkenaan”, katanya dalam kenyataan.

Aplikasi Saudi Visa Bio diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi bertujuan untuk memudahkan permohonan visa selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal haji ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah.

Lapan negara terawal telah dipilih untuk projek perintis ini. Antaranya Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Morocco. Pemilihan Malaysia sebagai salah satu negara projek perintis ini berdasarkan reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan dari kerajaan Arab Saudi.

Jemaah haji boleh rujuk kepada video berikut untuk panduan memohon visa melalui aplikasi Saudi Visa Bio.